Friday, December 31, 2010

Kampung Bukit Kulim,Marang,Terengganu







Kampung Bukit Kulim adalah sebuah kampung yang berada di Daerah Marang, Terengganu. Namanya dipercayai diambil dari sejenis pokok iaitu pokok kulim yang banyak terdapat di kawasan-kawasan berbukit di situ suatu ketika dahulu. Kampung Bukit Kulim diapit oleh dua buah kampung iaitu kampung Tuman dan kampung Bukit Jejulong.

Terletak lebih kurang 5 kilometer dari pekan Pengkalan Berangan, 16 kilometer dari bandar Marang, 22 kilometer dari Bandar Kuala Berang dan 32 kilometer dari Bandar Kuala Terengganu, Terengganu. 

Kampung ini tidaklah luas sangat dari segi geografinya di mana jumlah rumah tidak sampai 50 buah. Dengan penduduknya sekitar 200-250 orang sahaja.

Semua penduduknya adalah berbangsa Melayu dan beragama  Islam.

Suatu ketika dahulu majoriti penduduk di sini adalah petani dan juga penoreh getah. Namun sekitar tahun-tahun 90-an, keadaan semakin berubah di mana semakin banyak sawah-sawah padi telah bertukar menjadi kebun limau, tapak penanaman tembikai serta pelbagai tanaman kontang lain. Walaubagaimanapun, sumber pendapatan melalui hasil getah masih kedapatan tetapi jumlah semakin merosot kerana ia hanya diteruskan oleh golongan-golongan tua sahaja. Sementara golongan muda dan pertengahan umur kebanyakkannya berhijrah untuk mencari kehidupan diluar sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta seperti di Selangor, Johor dan juga Pulau Pinang.

Sementara itu, sekolah rendah yang paling hampir dengan kampung Bukit Kulim ialah Sekolah Kebangsaan Bukit Jejulong yang terletak lebih kurang 2 kilometer dari kampung tersebut. Di sekolah inilah, anak-anak dari kampung ini memulakan persekolahan rendah mereka.

Dan sekolah menengah yang paling dekat ialah Sekolah Menengah Pengkalan Berangan yang terletak lebih kurang 5 kilometer dari kampung tersebut. Majoriti anak-anak kampung Bukit Kulim meneruskan persekolahan menengah mereka di sini. Namun ada segelintir yang meneruskan persekolahan menengah mereka di tempat-tempat lain terutama yang memilih untuk meneruskan persekolahan dalam sekolah aliran agama atau mereka-mereka yang terpilih untuk menyambung persekolahan di sekolah-sekolah terpilih sama ada di daerah Kuala Terengganu dan juga daerah Dungun.

Suatu yang 'istimewa' tentang kampung ini hingga setakat ini ialah ianya tidak pernah ditenggelami banjir kerana terletak di kawasan yang agak tinggi dan berbukit sepadan dengan pangkal namanya bermula dengan bukit tidak seperti beberapa kampung di sekitarnya.

Sesiapa yang ingin berkongsi maklumat-maklumat tambahan bolehlah menyalurkannya melalui email ajaknordin@yahoo.com

Salam perkongsian.