Wednesday, September 14, 2011

Al Falah, Al Fawz Dan Al Nasr

Tiga istilah yang digunakan oleh al Quran tentang kemenangan iaitu al Falah, al-Fawz dan al-Nasr.

Antara ketiga-tiga kalimah itu, kalimah al-Falah telah dijadikan lambang dan saranan yang sentiasa dikumandangkan di udara melalui menara suci pada setiap waktu tidak kurang dari 15 kali dalam sehari semalam demi untuk memberikan peringatan dan kesedaran.

Saranan tersebut memberikan pengertian yang amat besar dan cepat dengan hakikat hidup insan, secara khususnya manusia muslim dan mukmin. Seluruh hidup dan seisi hidupnya adalah diarahkan untuk mencapai kemenangan. Kemenangan itulah yang semestinya menjadi matlamat hidup setiap muslim.

Oleh itu, kemenangan(al-Falah) melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh. Al Quran menjelaskan secara terperinci tentang ciri-ciri yang membawa kemenangan:

1. Orang-orang yang membersihkan jiwanya. (Lihat al-A'ala, 87 :14-al Syam, 91:9)
2. Orang-orang yang mendapatkan petunjuk Allah. ( Lihat al Baqarah, 2: 5)
3. Orang-orang yang menyeru kepada yang baik dan menegah dari perkara yang jahat. (Lihat Ali Imran, 3 : 104)
4. Orang yang beriman dengan Rasulullah, yang memuliakannya, yang menolong dan membelanya serta mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan-Nya. (Lihat Al A'raf. 7: 15)
5. Orang-orang yang berjihad dengan harta benda dan dirinya. ( Lihat al Taubah, 9:88)
6. Orang beriman yang taat dan patuh. (Lihat an Nur, 24: 51)
7. Membelanjakan sebahagian dari rezekinya kepada kaum keluarga(yang mempunyai hak), orang yang miskin dan orang-orang musafir yang perlukan bantuan. (Lihat al Rum, 30: 38)
8. Orang yang dipelihara dari kebatilan.
Orang yang mukmin yang khusyuk sembahayangnya.
Yang menjauhkan diri dari perkara yang sia-sia.
Yang menunaikan zakat.
Yang memelihara kemaluannya, melainkan pada hamba dan hamba miliknya.
Yang memelihara amanat dan janjinya.
Yang menjaga ibadah sembahyangnya. (Lihat al Mukminun, 23: 1-11)
9. Orang yang taqwa. (Lihat al Maidah, 5:100)
10. Orang yang taubat. (Lihat al Nur, 24:31)
11. Orang yang mengingati Allah. (Lihat al A'raf, 7 : 69)
12. Orang yang sujud dan rukuk yang mengabdi kepada Tuhan, dan membuat kebaikan. (Lihat al Haj, 22:77)
13. Orang yang berat timbangan amalnya. (Lihat al Mukminun, 23: 102)

Kemenangan dengan istilah al Fawz pula digunakan secara lebih khusus oleh al Quran untuk kemenangan atau kejayaan di akhirat.
1. Orang yang terhindar dari api neraka. (Lihat al An'am, 6:16, Ali Imran, 3: 16)
2. Orang yang dimasukkan ke syurga yang kekal abadi. (Lihat Ali Imran, 3: 185, al Taubah, 9: 89, 100. al Nisa', 4: 13)
3. Para awliya' Allah yang tidak merasa bimbang dan kecewa yang beriman dan bertaqwa. (Lihat Yunus, 10: 62)
4. Mendapat keredaan Allah. (Lihat al Maidah, 5:111. al Taubah, 9:72)
5. Mendapat rahmat Allah. (Lihat Ghafir, 40: 9, Al Jasiyah, 45: 30)
6. Orang yang mentaati Allah dan RasulNya. (Lihat al Ahzab, 33: 71)
7. Orang yang beriman, berhijrah, dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan dirinya. (Lihat al Taubah, 9:20)
8. Orang yang mentaati Allah dan Rasul, takutkan Allah(khasyyah) dan bertaqwa. (Lihat al Nur, 24: 52)

Manakala kemenangan dengan istilah al Nasr pula al Quran telah mempergunakannya untuk kemenangan yang lebih khusus, iaitu kemenangan dalam peperangan jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh Rasul dari bantuan dan pertolongan Allah seperti yang telah dijelaskan dalam konsep pertolongan Allah. Untuk mendapat kemenangan(al Nasr) ini umat Islam mestilah menjadi Ansarullah iaitu menjadi penolong, pendokong dan pembela Allah; iaitu pembela kekuatan; kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. Kesalahan umat Islam dalam mencapai kedua-dua kekuatan itu, mereka tidak akan mendapat pertolongan dari Allah yang memastikan kemenangan umat Islam ke atas musuhnya. Tentang kekuatan jasmani atau kebendaan; (Lihat al Anfal, 8:60)

Kesimpulan.

Kemenangan yang dimaksudkan dalam Quran amat luas dan menyeluruh. Kemenangan yang diistilahkan dengan al Falah merupakan konsep yang lebih umum dan menyeluruh meliputi semua sudut :

1. Al Falah sebagai lambang dan syiar dari matlamat kehidupan insan seluruhnya kerana itu ia dijadikan "Saranan Abadi" dalam kehidupan setiap muslim.
2. Al Falah meliputi semua syarat-syarat dan jalan-jalan untuk mendapat kemenangan itu serta segala ciri-cirinya.
3. Al Falah meliputi kemenangan dalam taraf individu atau pun dalam taraf kenegaraan dan kemasyarakatan.
4. Al Falah meliputi kemenangan di dunia dan kemenangan jasmani dan kemenangan rohani.

Kemenangan yang diistilahkan dengan al Fawz ialah kemenangan sebagai hasil natijah dan kemenangan al Falah sentiasa disarankan pada setiap waktu. Oleh kerana itu istilah al Fawz secara lebih khusus digunakan kepada kemenangan di akhirat atau kemenangan yang benar-benar diterima di akhirat seperti : 
1. Berat timbangan di Padang Mahsyar.
2. Terselamat dari azab neraka.
3. Diterima masuk ke syurga dengan segala nikmat di dalamnya yang kekal abadi.
4. Mendapat keampunan dari Allah.
5. Mendapat keredaan dari Allah.
6. Mendapat limpahan rahmat-Nya.

Sementara kemenangan dengan istilah al Nasr digunakan pada yang lebih khusus lagi dari kemenangan yang diistilahkan dengan al Fawz; iaitu kemenangan dalam medan peperangan. Bahkan kemenangan al Falah menjadi syarat asasi kepada kemenangan al Nasr, sementara kemenangan al Fawz menjadi natijahnya yang tabi'i. 

Diringkaskan dari MANUSIA DAN ISLAM, JILID DUA. Panel Penulis Diketuai Oleh DR. HARON DIN. Halaman 452-471)