Tuesday, February 8, 2011

Gangguan Emosi

1. Gangguan Tekanan Emosi(Stress Disorder)

Emosi boleh menjadi tertekan apabila berlaku perkara-perkara yang menyentuh perasaan. Misalnya suasana di tempat kerja yang tidak selesa, kesesakan jalan raya, masalah rumahtangga, kewangan dan lain-lain boleh menjadikan emosi kita terganggu sehingga ke tahap yang tidak dapat di kawal.

Kita boleh menjadi panik, terburu-buru atau mengambil tindakan secara melulu kerana kekalutan emosi akan juga melibatkan fungsi otak. Bila keadaan ini berlaku secara berpanjangan, ia boleh membentuk sikap atau pendirian kita menjadi seorang yang gopoh, panas baran atau cepat melenting.

2. Gangguan Hipomania

Hipomania ialah perasaan yang berlebihan( exaggerated feeling) sehingga boleh menimbulkan suasana tegang apabila ianya dilahirkan. Ada orang yang tidak dapat mengawal perasaan mereka sehingga melonjak-lonjak keriangan sambil menjerit bila mendapat sesuatu yang mengembirakan atau menangis meraung-raung menepuk dahi jika ditimpa kesusahan.

Perasaan yang tidak dapat dikawal ini boleh menimbulkan gangguan jika dibiarkan secara berleluasa. Mereka boleh menjadi lupa diri dan bertindak liar sehingga ke peringkat ekstream. 

Sesungguhnya hipomania bukan sahaja boleh dideritai oleh mereka yang panas baran atau cepat melenting, bahkan sesiapa sahaja boleh merasainya jika perasaan telah berjaya diapi-apikan. 

Oleh itu gangguan jenis ini tidak begitu ketara kecuali dalam keadaan atau suasana tertentu. Perasaan akan sukar dikawal jika sudah sampai ke peringkat sentuhan yang terlalu mendalam.

3. Gangguan "moody"

'Mood' boleh dianggap sebagai suasana hati dan perasaan. Tindakan seseorang mungkin berlainan ketika suasana hati atau moodnya berada dalam keadaan tertentu. Jika mood baik dia boleh jadi riang gembira dan sentiasa tersenyum.

Sebaliknya jika mood tidak baik dia akan menjadi seorang yang pemarah atau sentiasa bermuka masam. Oleh itu sebarang keputusan yang dilakukannya bergantung kepada mood. Orang yang bijak mengambil peluang akan menggunakan kesempatan ini dengan baik terhadap mereka yang 'moody'. 

Sebenarnya suasana hati ini mempunyai kaitan yang rapat dengan keadaan fizikal seseorang. Jika kesihatan fizikalnya berada dalam keadaan stabil, moodnya juga turut menjadi baik, begitu juga sebaliknya. 

Walaubagaimanapun terdapat juga kekecualian. Keadaan begini boleh berlaku akibat adanya rasa egoistik, superior atau kesombongan dalam diri seseorang sehingga menganggap dirinya lebih penting dari orang lain.

Akibatnya dia akan merasa angkuh dan orang lain perlu mematuhi arahannya. Perasaan tersebut muncul kerana sudah terdapat gangguan emosi di dalam diri mereka yang jika dibiarkan berterusan akan menjadi bertambah parah. 

4. Gangguan Hiperbola(Hyperbolic Disorder)

Mereka yang mendapat gangguan ini akan bertindak memperbesarkan atau menambahkan cerita sesuatu kejadian sehingga menjadi lebih panjang daripada apa yang sebenarnya telah berlaku. Orang yang bersikap begini akan mereka-reka sendiri kepada sesuatu peristiwa supaya nampak begitu realistik walaupun yang sebenarnya tidak demikian. Dalam masyarakat Melayu mungkin inilah yang melahirkan tatabahasa "Yang sejengkal disedepakan".

Disedut dari Majalah Bicara Jun 2001. Halaman 64-68. Artikel telah ditulis oleh Jaafar M.S. B.A(Hons)M.Ed.

Salam Perkongsian.