Monday, April 18, 2011

Pesawat Ringan Masa Depan

Sebenarnya terdapat konsep kapal terbang baru diperkenalkan yang menggabungkan teknologi kapal terbang dan belon udara yang dikenali sebagai Aeroscraft.

Prototaip pesawat Aeroscraft yang dijangka siap dibina menjelang 2010(ketika artikel asal ini ditulis pada Oktober 2008-p) boleh digunakan untuk membawa kargo atau penumpang dengan enjin yang senyap. 

Pesawat ini seperti pesawat lighter-than-air yang juga dikenali sebagai pesawat belon yang banyak digunakan untuk tujuan pengiklanan di udara. 

Bagaimanapun, konsep baru pesawat hibrid ini ialah menggabungkan teknologi belon udara yang menggunakan helium dan rupa bentuk seperti pesawat.

Kelebihan pesawat ini sudah tentu kerana ia tidak memerlukan landasan untuk terbang dan mendarat kerana ia terbang seperti belon udara yang diperkenalkan oleh dua syarikat Zeppelin Company dan Worldwide Aeros Corporation.

Cara Operasi 

Pesawat lighter-than-air ini menggunakan gas seperti helium atau hidrogen untuk terapung di udara dan menggunakan tekanan angin untuk meluncur ke hadapan.

Aeroscraft mempunyai kemampuan menyimpan 14 juta kaki padu helium yang merupakan 60 peratus daripada keberatan keseluruhan kapal terbang.

Saiz Aeroscraft ialah 165 kaki tinggi, 244 kaki lebar dan 647 kaki panjang. Ia umpama dua padang bola dan boleh membawa lebih 400 tan kargo atau 250 penumpang untuk jarak perjalanan 6,000 batu.

Dengan kelajuan maksima 174 batu sejam, pesawat ini boleh melintasi Amerika Syarikat dalam masa 18 jam.

Pesawat ini boleh berlepas dan mendarat secara vertikal menggunakan enam enjin turbo dan sudah tentu sangat sesuai untuk mengambil barangan di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan jalan raya yang baik.

Apabila pesawat mencapai ketinggian 8,000 kaki, kipas gergasi di belakangnya akan berpusing untuk melncurkannya ke hadapan.

Sel bahan bakar hidrogen yang digunakan akan menggerakkan kipas tersebut dan seterusnya mampu bergerak dengan senyap dan mesra alam.

Kapal terbang ini juga mempunyai sistem imbangan tertentu bagi menstabilkan pesawat apabila misalnya ramai penumpang secara tiba-tiba bergerak ke sebelah kanan dan kiri pesawat untuk melihat sesuatu.

Aplikasi
  • Kapal terbang persiaran-mampu membawa sehingga 250 penumpang untuk menikmati pemandangan dari udara. Ia akan dilengkapi dengan tempat tidur, restoren, kasino, bilik mesyuarat dan sebagainya untuk kemudahan penumpang.
  • Menjadi pengangkut kargo. Sebelum ini, kargo-kargo untuk jarak dekat diangkut oleh lori, keretapi atau kapal tetapi Aeroscraft juga boleh mengambil peranan itu. Kelebihannya ialah ia tidak memerlukan landasan untuk berlepas atau mendarat dan memudahkan ia mengangkut barangan dari kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan seperti kawasan pendalaman, padang pasir dan sebagainya. Sangat sesuai untuk kegunaan angkatan tentera mengangkut peralatan mereka bagi menubuhkan kem-kem tentera di mana-mana.
  • Pesawat penumpang untuk perjalanan dekat dan kawasan tiada lapangan terbang. Pesawat ini mungkin sesuai digunakan untuk menjadi pesawat pengangkut ke kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak.
  • Kemampuannya membawa  air yang banyak membolehkan ia digunakan untuk memadamkan api bagi kebakaran besar seperti di hutan dan juga untuk tujuan menabur baja di ladang.
  • Di waktu bencana, ketika kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang rosak, pesawat ini sangat sesuai untuk menjadi pesawat penyelamat.
Disedut dari estidotmy Oktober 2008. Halaman 29. Tulisan asal oleh Mohd. Ridzuan Iman.