Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Kehamilan Ektopik?
Kehamilan ektopik adalah kehamilan di luar kandungan atau rahim. Ini bermakna kehamilan berkenaan tidak berada di dalam rahim, sebaliknya di tempat lain seperti saluran telur, rongga perut dan sebagainya. Apa yang membahayakan dari kehamilan ini adalah kemungkinan terjadinya pendarahan ketika produk kehamilan berkenaan terganggu.
Dalam kebanyakan kes, kandungan terletak di dalam saluran Falopian iaitu tempat percantuman benih lelaki(sperma) dan benih wanita(telur). Jarang sekali, ia terletak pada ovari dan di dalam ruang abdomen.
Seringkali juga timbul persoalan, apakah yang menjadi punca kehamilan ektopik ini? Ia disebabkan oleh keabnormalan benih wanita(telur) dan janin. Ini termasuklah :
- PID-pelvic inflammatory disease
- Endometriosis
- Kehamilan ektopik terdahulu
- Pembedahan ke atas saluran Falopian
- Merokok
Di antara kelima-lima punca di atas, PID merupakan kaitan utama. Risiko seseorang yang baru dijangkiti PID meningkat sebanyak 7 kali ganda untuk mengalami kehamilan ektopik.
Selain itu, kehamilan ektopik juga dikaitkan dengan keadaan berikut seperti penyakit pelekat pelvis, ketumbuhan pada pelvis, dan salpingitis isthmica nodosa, septate uterus, atrophic endometrium sebagainya. Penggunaan alat dalam rahim(IUD) juga dikaitkan dengan kehamilan ektopik.
Bagaimanakah Mengesan Kehamilan Ektopik
Dahulunya, kehamilan ektopik adalah penyebab utama kematian ibu-ibu hamil trimester pertama. Dalam kebanyakan kes, kandungan ektopik hanya dikesan setelah ia pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman yang banyak sehingga membahayakan nyawa ibu.
Namun kini, dengan adanya kemudahan ultrasound tranvagina serta ujian darah bagi pengukuran paras hormon B-nCG, kehamilan ektopik dapat dikesan seawal seminggu haid lewat lagi. Ini dapat mengelakkan kejadian kandungan pecah.
Sementara tanda-tanda yang lebih lewat termasuklah sakit pada bahu kiri, sakit dan kembung pada bahagian abdomen, pitam malahan pengsan akinat kehilanga darah yang banyak ke ruang abdomen.
Apakah Pilihan Rawatan Yang Ada?
Dengan adanya teknologi laparoskopi, pembedahan merawat kehamilan ektopik boleh dilakukan berpandukan teropong berkamera yang dimasukkan melalui pusat bersama-sama 2-3 lagi lubang sebesar 0.5-1 sm di bahagian ari-ari. Namun cara pembedahan lebih bergantung kepada kemudahan serta peralatan pembedahan laparoskopi, kepakaran/kemahiran doktor dalam pembedahan laparoskopi, keadaan saluran yang terlibat, jumlah pendarahan(jika ada), keadaan saluran Falopian di sebelah lagi dan sebagainya. Secara amnya(dalam kehamilan ektopik melibatkan saluran Falopian), ia dilakukan seperti berikut :
- Saluran Belum Pecah Dan Tiada Pendarahan :
Pada awal kandungan, saiz janin masih kecil. Pembedahan boleh dilakukan secara minor(laparoskopi) dan membelah saluran untuk mengeluarkan kandungan(salpingostomy). Lazimnya pil kemoterapi yang mengandungi methotrexate) diberikan untuk memastikan sisa kandungan yang tertinggal dihapuskan. - Saluran Mulai Merekah Dan Pendarahan Mula Berlaku :
Dalam keadaan ini, pembedahan membuang saluran(salpinggectomy) boleh dilakukan secara pembedahan laparoskopi. - Saluran Telah Pecah Dan Pendarahan Banyak :Ini menghadkan rawatan kepada pembedahan major(laparotomi) dan membuang saluran Falopian(salpingectomy)
Lazimnya prosedur salpingectomy dilakukan memandangkan keadaan saluran tersebut telah sedia rosak(sehingga menyebabkan kehamilan ektopik). Kajian juga mendapati tiada perbezaan dalam kesuburan serta risiko kehamilan ektopik berulang sama ada pembedahan salpingectomy atau salpingostomy dilakukan.
Bolehkah Ia Berulang Lagi?Ia lebih bergantung kepada 3 faktor utama :
1. Kehadiran penyakit lekatan pada kawasan sekitar ekpotik
2. Keadaan saluran sebelah lagi
3. Kehadiran penyakit berkaitan ektopik seperti disenaraikan di atas lazimnya boleh diketahui sewaktu pembedahan juga dapat mengenalpasti punca serta kemungkinan kehamilan ektopik akan berulang.
Apakah Peluang Seseorang Hamil Selepas Mengalami Kehamilan Ektopok Ini?
Kesuburan masih tinggi(79%) jika saluran sebelah lagi masih kelihatan normal. Namun jika saluran sebelah lagi kelihatan tidak normal, kesuburan dilaporkan menurun kepada 42%.
Jika lewat didatangi haid, sebaiknya jalan ujian air kencing bagi pengesahan kehamilan. Ini kerana, risiko kehamilan ektopik meningkat kepada sekitar 15%(berbanding hanya sekitar 0.5% sahaja) bagi mereka yang pernah mengalami kehamilan ektopik.
Apakah Peluang Seseorang Hamil Jika Kedua-Dua Belah Saluran Falopian Telah Dibuang?
Seseorang wanita yang belum menopaus masih boleh hamil walaupun telah ketiadaan kedua-dua belah saluran Falopiannya. Namun ia memerlukan bantuan teknologi persenyawaan tabung uji(IVF-In Vitro Fertilization). Melalui teknik ini, benih wanita(telur) dan benih lelaki(sperma-sperma) diletakkan bersama-sama di dalam piring (tabung uji) untuk membolehkan persenyawaan berlaku.
Dipetik dari Majalah Wanita & Keluarga, Oktober 2006. Muka surat 136-137.
Oleh Dr. Adilah Ahmat, Pakar Perbidanan & Sakit Puan & Rawatan Kesuburan Hospital Pusrawi Jalan Ipoh & Pusat Pakar Tawakal Jalan Pahang.
Salam Perkongsian.