Adakah anda mengalami gangguan perut seperti ceret-beret atau sembelit bila berada dalam keadaan tertekan atau cemas? Jika ya, anda mungkin mengalami sindrom iritasi usus besar atau irritable bowel syndrome(IBS)..
Apakah Itu IBS?
Sindrom iritasi usus besar(IBS) adalah masalah fungsi usus besar yang merupakan satu masalah besar kesihatan yang ketara di dunia moden ini ; di mana gaya hidup moden tidak menyokong tabiat pemakanan yang sihat. Kes gangguan perut sebegini kebanyakkannya dialami golongan wanita berusia 20-40 tahun kebelakangan ini sering terjadi, dan menjadi perhatian kalangan pakar gastroenterologi(pencernaan).
Sindrom iritasi usus besar(IBS) boleh dikategorikan kepada 2 simptom yang biasanya dialami oleh seseorang iaitu masalah sembelit atau konstipasi(tidak berupaya membuang air besar) dan ceret beret.
Makanan yang telah dihadamkan di dalam perut akan melalui usus kecil untuk penyerapan zat-zat makanan oleh badan kita. Sisa-sisa makanan dan bahan-bahan makanan yang tidak boleh dicernakan akan melalui usus besar. Pergerakan makanan dalam usus kita adalah proses gerakan berirama iaitu kecutan dan kembangan dinding usus yang dikenali sebagai peristalsis.
Dalam kes IBS bercirikan masalah ceret-beret, proses peristalsis ini terganggu dan berlaku terlalu cepat sehinggakan proses penyerapan semula air tidak lengkap. Maka berlakulah masalah ceret-beret atau pembuangan najis cair yang kerap. Dalam kes IBS sembelit pula, keadaan sebaliknya berlaku di mana proses peristalsis berlaku secara lambat; menyebabkan sisa-sisa makanan berada terlalu lama di dalam badan. Proses penyerapan airnya pun berterusan yang menyebabkan menjadi keras dan tidak mudah bergerak semasa proses peristalsis.
Di negara Barat, dilaporkan 10%-20% gangguan perut disebabkan oleh IBS. Lebih dari 50% penderitanya adalah wanita. Mengikut sumber, di benua Asia pengidap IBS tertinggi adalah di kalangan golongan muda Jepun. Ini mungkin kerana tuntutan hidup yang begitu tinggi sehingga banyak mengalami stress.
Di Malaysia pula, mengikut sebuah kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar gastroenterologi dari Universiti Malaya pada tahun 2003, sindrom iritasi usus besar(IBS) adalah ketara pada kadar 15.8% di kalangan golongan muda yang berusia lebih daripada 20 tahun. Di kalangan golongan IBS dalam kajian ini, majoritinya(77.4%) adalah dari sub-kumpulan IBS bercirikan masalah sembelit.
Dipetik dari Majalah Wanita dan Keluarga Oktober 2006. Muka surat 129. Yang dipetik dari sumber (Gastroenterol Hepatol, 2003;18(12):1412-6(ISSN:0815-9319)
Salam Perkongsian.